Halaman

Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan

Ahad, 20 Mei 2012

Adab memberi teguran


SEMEMANGNYA dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah perkara yang lumrah bagi manusia.
Justeru, apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka, kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.

Oleh yang demikian, janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga wujud cabar-mencabar.
Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya.
Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 125 bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.
Pun begitu, sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.
Islam telah menggariskan dalam membuat teguran. Kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai 'orang perantaraan' bagi menjelaskan sesuatu perkara.
Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur.

Kita tidak harus melatah, apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah SWT.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah SWT menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.

Sumber Utusan

Khamis, 8 September 2011

Haram Berkahwin Dengan Saudara Sesusu


Hadith:
DIRIWAYATKAN oleh Abdullah Mulaika r.a: Uqbah bin Harith r.a berkata bahawa ia menikahi anak perempuan Abi Ihab bin Aziz. Tidak lama kemudian seorang perempuan menemuinya dan berkata : "Akulah yang menyusui Uqbah dan perempuan yang dinikahinya. Uqbah berkata kepadanya : "Aku tidak tahu kamu telah menyusui ku dan kamu tidak mengatakannya kepada ku. "Kemudian dia pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah dan bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal itu. Rasulullah SAW menjawab: Bagaimana kamu boleh (memperisterikannya) padahal telah dikatakan kepada mu (bahawa ia saudara sesusu mu) ? Kemudian Uqbah menceraikan isterinya dan kemudian isterinya berkahwin dengan orang lain.
Riwayat Al-Bukhari
Huraian Hadith: Apabila seorang perempuan menyusukan seorang bayi di bawah umur dua tahun sebanyak lima kali susuan atau lebih, maka anak tersebut menjadi anak susuannya dan anak suaminya.
Oleh yang demikian anak susuan itu menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Berikut disenaraikan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak susuan itu:
i. Perempuan yang menyusukan
ii. Suami ibu susuan
iii. Ibu bapa kepada ibu susuan
iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan
v. Adik beradik kepada ibu susuan
vi. Adik beradik kepada bapa susuan
vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan
viii. Anak-anak kepada ibu susuan
ix. Anak-anak kepada bapa susuan
Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan adalah anak susuan yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya hingga ke bawah.
Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan.
Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara.
Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu˜nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT, yang maksudnya: "Dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu dan saudara kamu yang sesusu" (an-Nisa': 23).
Serta sabda Rasulullah SWT yang maksudnya: "Sesuatu yang diharamkan dengan sebab penyusuan sebagaimana apa-apa yang diharamkan oleh sebab nasab."
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

ShareThis